|
![]() gambar ini kiriman sepupu kaksu, Hidayah, yang belajar di Perancis Ramai juga yang bertanya KakSu, cerita NTS ini berdasarkan cerita sebenar, ka? Apa yang boleh KakSu jawab, ya? Latarnya, memanglah benar. Latar ceritanya, latar tempatnya, latar peristiwanya dan masyarakatnya... memanglah betul. Lalu cerita itu nampak seolah-olah berdasarkan peristiwa sebenarlah... walaupun pada hakikatnya ia sekadar sebuah cerita fiksyen. KakSu akui, sebenarnya banyak peristiwa yang berkaitan dengan KakSu dan juga teman-teman yang digabungkan untuk menghidupkan watak Syarifah Nuur Khalida. KakSu memulakan TIGA BAB yang awal NTS ini di wad patah: KakSu sememangnya di wad patah pada waktu itu... sekitar tahun lapan puluhan pabila mana emak saudara KakSu (mak teh) meminta tolong KakSu menemani anaknya, Subhi Hamdy yang terlantar di hospital kerana patah kaki (dilanggar lari). Rasa-rasanya hari itu, tiada siapa yang dapat menemani Subhi Hamdy. Tiba-tiba semua orang sibuk sangat dan kebetulan KakSu bertandang ke rumah mak teh; dan 'tugasan' menanti di situ. Lalu apabila jemari KakSu untuk melakar idea timbul beberapa tahun kemudian... lantas latar wad itu KakSu abadikan di situ. Sebagaimana cerita NTS – Subhi Hamdy, sepupu Khalida itu juga menerima nasib yang sama. Dan cerita di dalam wad itu, memang KakSu rasai sendiri; ya rasa marah dan geram direnung terus-menerus dek tiga bujang lapok. Lalu pada saat itu KakSu pura-pura membaca sehingga migrain (ahaks) sebab takut akan renungan mereka! Cuma sekarang ini Kaksu tidak pasti, betulkah tiga orang atau cuma dua atau seorang yang tinggal di wad ketika itu? Subhi Hamdy (kami panggilnya, Didi aja sejak kecil); dia memang pun dihiburkan dan dimanjakan oleh ketiga-tiga mereka. Tiga bujang lapok tu terlibat dengan kemalangan jalan raya dalam perjalanan menyaksikan pertandingan bola sepak di Stadium Darulaman. Dan mereka menjadi penghuni tetap wad 'Doktor Aqmar' itu. Dan menurut abang Didi, Irman... ada seorang doktor (yang KakSu tidak tahu namanya) mencabar mereka sebagai; "saya nak lihat sikit kamu nak kumpul berapa 'F'?" Lalu kata-kata doktor misteri itu KakSu 'curi' (pinjam) dalam NTS :) Yalah, ketiga-tiga mereka memang asyik bermain terup aja untuk menghabiskan masa terluang daripada mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan STPM (?) mereka. Namun nama mereka tentu fiksyen sahaja. Manalah KakSu kenal atau ingat. Kalaulah mereka terbaca novel NTS ini, harap-harap mereka tidak marah kepada KakSu yang mengabadikan kisah mereka dalam novel KakSu ini. Gambaran tentang hospital ini dilengkapkan lagi apabila KakSu menjaga nenek yang terlantar di hospital dan adik KakSu yang dimasukkan ke wad kerana apendiks. Latar tahun 1985 begitu akrab dengan KakSu, kerana permulaan tahun inilah KakSu menjadi pelajar Komunikasi di USM. Cerita-cerita pelajar USM, KakSu kumpulkan untuk menceriakan latar di asrama dan juga di bilik Khalida. Sebahagian watak sememangnya KakSu fiksyenkan... tetapi ada juga 'karakter' yang KakSu 'salin' daripada teman-teman KakSu yang sebenar. Ada juga daripada teman-teman KakSu di blog ahaks. Walaupun KakSu tidak tinggal seasrama dengan pelajar perubatan (Desa Fajar), tetapi ada juga seorang dua teman KakSu mengambil jurusan perubatan yang mencetuskan idea untuk KakSu menulis. Latar tahun 1985, adalah antara kenangan yang terindah untuk KakSu. Emak saudara KakSu, yang kami panggil mak teh memanglah suka memasak. Dan masakannya memang sedap sangat. Mak tam pula sekarang ini tinggal di sebelah rumah mak teh... lalu sememangnya kedua-dua mereka sering menukar juadah malah kadang-kadang saling 'menculik' juadah yang seorang lagi tidak kira sama ada 'diculik' dari peti ais... atau periuk ataupun di bawah tudung saji... apabila tetamu yang tidak duga datang bertandang... dengan tiba-tiba. Rumah mak tam dan mak teh tidak pernah pun tidak ada makanan untuk disajikan kepada tetamu yang berkunjung. Lebih-lebih lagi kalau di rumah mak teh yang menjadi suri rumah sepenuh masa itu. Mak tam KakSu seorang guru dan anaknya; Wan, Tikah dan Tiyah... memang KakSu muatkan untuk berlakon di NTS. Tetapi KakSu sedikit pun tidak bimbang ahaks... kerana mereka tidak pun membaca NTS, mereka sendiri tidak tahu mereka turut berlakon peranan kecil di NTS ini. Manakala mak teh pula sepatutnya ada lima orang anak, tetapi KakSu senarai pendekkan menjadi 'empat orang' sahaja. Yalah kerana anak bongsunya Naim sudah pun KaKSu pinjamkan namanya sebagai adik 'Farhana' dalam novel Rindunya Kian Membara. Itulah jadinya... anak-anak mak teh yang berlakon hanya Irman, Subhi Hamdy, Noor Azeema dan Noor Hidayah. KakSu biarkan mereka dengan bergerak bebas dalam NTS. Yang bezanya dengan alam sebenar hanyalah: KakSu jadikan Ema sebagai kakak Didi. Yalah, tidak mungkin Ema menjadi matang sedikit kalau dia masih muda sangat. Itulah bezanya. Lalu rumah Cikgu Raihan KakSu tempatkan di sebelah rumah mak teh. KakSu biarkan pagarnya terbuka (begitulah rumah mak teh dan mak tam selama ini... pagarnya dibuka untuk memudahkan emak-emak saudara KakSu tu saling bertandang) Jadi di mana Doktor Aqmar? KakSu cuma tahu Didi menyukai doktor yang merawatnya. Itu sahaja! Itulah 'Doktor Aqmar' dalam NTS. Tetapi KakSu tidak pernah bertemu pun dengan orangnya. Dia menjadi tarikan untuk KakSu memulakan cerita ini penuh misteri bagi KakSu. Selepas NTS keluar, ramai yang bertanya KakSu tentang 'Doktor Aqmar'... ramai yang ingin melihatnya... sedangkan kalau di congak-congak usianya... doktor itu sudah berumur sekitar lima puluhan sekarang ini. Masihkah dia mempunyai daya penarik? Perasaan Khalida yang KakSu pamerkan sekadar fiksyen... tetapi sememangnya, keluarga KakSu ingin menjodohkan KakSu dengan seorang saudara jauh ketika itu. Ketika itu KakSu sudah pun di tahun ketiga di USM. KakSu punyalah takut dengan rancangan mereka. Harapan mereka tentu aja membuat KakSu rasa sangat sedih. Hanya kerana adik KakSu, Laili... sudah berkahwin, semua orang pandai-pandai aja cuba mengatur hidup KakSu pula. itulah yang KakSu rasa. Itulah yang membuat KaKSu rasa sangat terkilan sangat! KakSu nyaris-nyaris mengatakan 'ya'... hanya kerana keluarga KakSu seolah-olah telah berkata 'ya' kepada pihak yang satu lagi. Dan KakSu tidak ingin memalukan mereka. Bagaimanapun pada ketika 'dia' datang ke kampus (ditemani abangnya) dan bertanyakan hal tersebut kepada KakSu; entah keberanian itu datang dari mana... dan KakSu berani mengatakan 'tidak'... "Saya tidak mahu". Padahal ketika itu KakSu tidak ada sesiapa di dalam hati. Opsss, benarkah begitu? Terpulang untuk adik-adik untuk percaya atau tidak :) Yang pastinya ketika itu KakSu masih gadis polos yang mendambakan hidup yang damai di samping teman-teman di kampus. Hal pacaran tidak termasuk dalam hitungan pun. Itulah sebahagian latar yang KakSu pinjam pakai dalam cerita ini...dan harap-harapnya KakSu menjawab sebahagian daripada pertanyaan adik-adik! ANEKDOT: Cerita ini kakSu taip ketika hujan di luar sedang mencurah. KakSu sedang menunggu hujan teduh untuk pulang ke rumah (Sungai Petani). Kelas hari ini berlangsung sejak jam 9 pagi sehingga 4 petang tadi. KakSu dilesukan dengan kerja-kerja yang belum KakSu mulakan lagi. Dan hari Sabtu ini, KakSu masih keseorangan di pejabat menunggu waktu untuk meninggalkan pc kesayangan KakSu :o Ramai yang berpesan hati-hati duduk sorang-sorang di pejabat... kerana berh*nt* tapi apa pilihan yang KakSu ada, ya? |
| alia@yaya August 18, 2008 10:51 AM PDT assalam kak su,nyayian tajung sepi adalah novel yg meninggalkan kesan mendalam wat saya...jalan cite dia best sangat...cite nie terkandung catatan suka dan duka seorang wanita...sedey sangat mase hannah meninggal...thanks kak su sebab cite nie memang betul-betul best...good luck kak su...wassalam... | ||
| kucingsiam May 11, 2007 10:46 PM PDT NTS sungguh best! Suka sangat! | ||
| nurul nuha May 7, 2007 07:26 PM PDT thanx n congrats tuk novel 'surat ungu tuk nuha' 2..best sgt ceritanya.byk sgt psamaan dgn sy :) esp nama nuha 2..mcm xcaya je tajuknya bile tgk 1st time kat book shop!..keep up d gud work!! kindly plz reply me @ nuhayahaya@yahoo.com | ||
| nowwa June 18, 2006 05:53 PM PDT Kak Su, saya miliki semua novel tulisan akak. Sejak Keranamu Ain, saya mengikuti tulisan kak Su. NTS pulak..buat saya menitis kan air mata kerana serasa saya pula yang asyik masyuk bercinta... | ||
| Nacha May 24, 2006 03:51 PM PDT ye.. sy pun suka dgn sifat2 romantik Aqmar Aziz tu... tapi tang kawin kali ke2 senyap2 tu sy bangkang habis2an. no way.... | ||
| JiD May 24, 2006 01:24 PM PDT salam sayang buat kaksue..woo..kira betul la NTS tuh cerita betul juga la tuh..patutla penangannya memang menusuk kalbu jiwa dan raga..heheh...takperla..walaupun takder org bernama "Aqmar Aziz" tapi jid tetap doakan supaya insan berperwatakan spt Aqmar Aziz akan muncul suatu hari nanti..ameen...1000000000X | ||
| Namika Aihara May 24, 2006 01:22 PM PDT salam Kaksue... buat kesekian kalinya memberanikan diri utk mencoretkan sesuatu disini... | ||
| kak mon May 23, 2006 07:41 PM PDT uwaaaa aku mencarut dia kasi masuk pulak.. memang sah blogdrive ni dah gila meroyan :'( | ||
| kak mon May 23, 2006 12:25 PM PDT la aku dah nyampah ngan blogdrive nih.. napa dia telan komen aku lg.. cikgu noorsoraya penatlah jari kakmon wat tye qi kat sini empok meh kita tuang petrol lori balak kak mon kat sini.. tu wa ga.. | ||
| kak mon May 23, 2006 12:25 PM PDT la aku dah nyampah ngan blogdrive nih.. napa dia telan komen aku lg.. cikgu noorsoraya penatlah jari kakmon wat tye qi kat sini empok meh kita tuang petrol lori balak kak mon kat sini.. tu wa ga.. | ||
| Name May 22, 2006 09:15 AM PDT bestnya kalau saya dapat melakar cerita2 begini, menghasilkan novel...tapi tak ada bakat la.... | ||
| Em May 21, 2006 09:14 PM PDT wah kaksu..seronoknya kalau pandai menulis semua kenangan mcm kaksu.. 'dia' yg skrg ni bc tak n3 ni? hehe | ||
| Leave a Comment: |